Tuesday, April 29, 2008

~*~ KEBAHAGIAAN INI ~*~


Bingkisan rindu dari seorang anak....

Aku bukan dilahirkan di dalam keluarga yang kaya raya, punya harta menggunung tapi aku kaya dengan kehadiran Emak dan Abah yang amat menyayangi kami, ditambah pula dengan kehadiran adik beradik yang agak ramai dan meriah. Kehadiran anak-anak saudara ku yang selori menambahkan lagi kemeriahan kami sekeluarga. Melengkapkan lagi label keluarga bahagia ku. Aku kaya dengan kasih sayang, kasih sayang dari seorang ibu, seorang ayah. Kasih sayang yang disemai dalam diri aku sejak dari aku mula dilahirkan lagi.

Ketika kedatangan hari raya rumah pasti akan sentiasa penuh dengan hilai tawa dan gelak tawa. Cuma semenjak kepulangan Abah kesayangan ke Rahmatullah rumah ini makin kurang serinya. Tunggak kekuatan kami telah pergi meninggalkan kami.

Namun, sisa-sisa kehidupan ini masih perlu diteruskan. Walaupun sedikit pincang tapi kekuatan, kecekalan, kasih sayang Abah dan wajah riang Abah sentiasa memenuhi setiap ruang di rumah kami. Hati kecil ini sering merindukan gelak tawanya, rindukan peluk ciumnya. Alangkah bertuahnya jika dapat bertemu dengannya semula walaupun hanya sesaat. Dan kerana kasih sayangnya juga kami tetap tabah meneruskan hidup tanpanya.

Entah kenapa malam ini terasa sungguh syahdu. Tidak mungkin aku melupakan wajah itu, senyuman itu, suara itu. Setiap selesai solat, setiap kali bayangan wajahnya melintas di kotak fikiran, setiap kali hati ini terdetik teringatkannya, pasti aku alunkan ayat-ayat suci Al-Quran buat hadiah sebagai tanda kasih sayang aku kepadanya. Sentiasa aku panjatkan doa agar rohnya di tempatkan di kalangan mereka yang beriman, memohon agar Allah SWT memberi keampunan di atas segala dosa-dosanya, di ringankan hisab kuburnya, di besarkan dan di terangi kuburnya dengan kebaikan yang pernah dia lakukan ketika hayatnya.

Ingin aku titipkan buat rakan-rakan yang masih mempunyai ayah dan ibu, hargailah saat-saat bersama mereka, sayangilah mereka, kasihanilah mereka, martabatkanlah mereka, dan kenangilah jasa-jasa mereka walaupun tangan-tangan itu tidak pernah membesarkan kamu, tidak pernah menyuapkan makanan ke mulutmu dan tangan-tangan itu yang pernah memukul kamu satu masa dahulu, mulut itulah yang pernah menghalau kamu keluar dari rumah, dan kaki itulah yang pernah singgah ke badanmu.

Ingatlah takkala mereka menutup mata, disaat Allah menjemput mereka kita hanya mampu berdoa agar dosa kita diampuninya, susu diberi dihalalkan oleh mereka, dan betapa sunyinya kehidupan ini nanti tanpa kasih sayang mereka.

Alhamdullillah, aku di beri rezeki oleh Allah SWT untuk berada di samping arwah ayah ketika dia masih sihat, menghantarnya ke hospital ketika dia sakit, mengucup pipinya dan memegang tangannya sambil membisikkan kata kasih sayangku padanya, memohon keampunan di atas dosa-dosa aku, meminta Abah menghalalkan setiap keringatnya yang tumpah untuk membesarkan aku, membaca yassin buatnya ketika dia sedang bertarung nyawa, membisikkan kalimah Syahadah di telinganya, melihat ombakan terakhir nafasnya, dan menyaksikan kepulangan anak Adam kepada penciptaNYA.

Aku menyaksikan semuanya dengan rasa penuh kesyahduan dan keinsafan. Aku kehilangan tapi aku puas kerana perginya abah dengan kehadiran aku di sisinya. Perginya Abah dengan kasih sayang aku yang di bawa bersamanya. Perginya Abah dengan doa restu dari isteri dan anak-anaknya. Perginya Abah setelah mengampuni dosa-dosa isteri serta kami anak-anaknya. Perginya Abah setelah menatap wajah isteri, putera serta puteri-puterinya. Perginya Abah dengan iringan kalimah Syahadah di satu subuh yang sunyi dan hening.
Walaupun tangis kami mengiringi pemergian Abah, tapi, itulah kebahagiaan yang akan aku bawa hingga ke Akhirat nanti.

Al-Fatihah buat Ayahanda Tersayang Haji Hashim bin Abdul Rahman. Semoga roh Abah ditempatkan di kalangan mereka yang soleh dan beramal, Amin. Anak-anakmu sentiasa merindui mu.

No comments: